Bersalin Caesarean : Risiko Utama Pembedahan Caesarean

 


Kalau diberi pilihan, hampir semua wanita bercita-cita untuk melahirkan bayi secara normal. Namun terdapat banyak kondisi yang boleh berlaku ketika mengandung hinggalah detik bermulanya kontraksi yang menyebabkan pembedahan caesarean terpaksa dijalankan.

Sama ada pembedahan dilakukan secara elektif (pilihan) mahupun kecemasan (emergency), bersalin czer juga mempunyai risikonya tersendiri.

1. Kesakitan

Keburukan utama pembedahan caesarean ialah kesakitan yang anda terpaksa alami selepas pembedahan. Anda akan rasa sakit pada bahagian luka pembedahan dan rasa tidak selesa pada bahagian perut selama beberapa minggu selepas pembedahan.

Anda akan diberi ubat penahan sakit untuk menangani kesakitan ini, tetapi ia masih akan mengganggu aktiviti seharian anda untuk beberapa ketika. 

2. Jangkitan

Sebelum dibedah, anda akan diberi satu dos antibiotik untuk mengurangkan risiko terkena jangkitan. Walau bagaimanapun, kira-kira lapan peratus daripada wanita yang menjalani caesarean masih mendapat jangkitan selepas pembedahan. Terdapat tiga jangkitan utama yang perlu diberi perhatian:

  • Jangkitan pada bahagian luka. Tanda-tanda jangkitan pada luka termasuk kemerahan, berair, atau kesakitan yang semakin teruk pada bahagian tersebut.
  • Jangkitan pada lapisan uterus (rahim). Ini dipanggil endometritis. Masalah ini lebih berkemungkinan berlaku jika air ketuban anda pecah lama sebelum anda mula rasa sakit bersalin atau sekiranya anda menjalani banyak pemeriksaan faraj sebelum pembedahan. Tanda-tanda jangkitan ini termasuk pendarahan yang teruk dan berbau serta demam.
  • Jangkitan salur kencing. Semasa pembedahan, sebatang tiub nipis atau catheter akan dimasukkan ke dalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing anda. Jangkitan boleh berlaku melaluinya.

3. Darah beku

Mana-mana pembedahan meningkatkan risiko anda mengalami darah beku. Ini boleh jadi serius, bergantung kepada di mana pembekuan itu berlaku. Jika pembekuan berlaku dalam paru-paru, ia boleh menyebabkan kematian. Tanda-tanda masalah ini termasuk:

  • batuk;
  • sesak nafas;
  • kesakitan atau bengkak pada bahagian betis.

Hubungi doktor anda sekiranya anda mendapat tanda-tanda tersebut selepas pembedahan caesarean.

Doktor mungkin akan memberi anda ubat untuk mencairkan darah dan stoking getah sokongan untuk memperbaiki peredaran darah pada kaki anda. Anda juga digalakkan supaya berdiri dan berjalan-jalan secepat mungkin selepas pembedahan caesarean. Ini akan membantu peredaran darah dan mengurangkan risiko pembentukan darah beku.


4. Lekatan

Seperti juga pembedahan lain pada bahagian perut atau pelvis, caesarean berisiko menyebabkan lekatan (adhesion) semasa proses penyembuhan. Lekatan ialah kelompok tisu parut yang boleh menyebabkan organ-organ pada abdomen anda melekat sesama sendiri atau pada bahagian dalam dinding perut. Kira-kira separuh daripada wanita yang menjalani caesarean mengalami lekatan, dan jumlah ini meningkat kepada 83 peratus selepas tiga pembedahan caesarean.

Lekatan boleh jadi menyakitkan kerana ia mengehadkan pergerakan organ-organ dalaman. Dalam sesetengah kes, ini boleh menyebabkan masalah kesuburan apabila ia menekan tiub falopia atau menyekatnya.


5. Pembiusan


Prosedur pembiusan


Kebanyakan pembedahan caesarean dilakukan tanpa pembiusan am (general anaesthetic), yang membuatkan anda tidur. Sebaliknya, anda akan diberi suntikan epidural yang akan mengebaskan perut anda. Epidural lebih selamat bagi anda dan bayi berbanding pembiusan am. Walau bagaimanapun, apa-apa jenis pembiusan melibatkan sedikit risiko. Selepas menerima suntikan epidural, sesetengah wanita mengalami:

  • Sakit kepala yang teruk. Masalah ini melibatkan kira-kira satu peratus wanita.
  • Kerosakan saraf. Ini jarang berlaku dan jika ia berlaku, ia hanya berlangsung selama beberapa hari atau minggu sahaja.


Memang wanita yang bersalin secara pembedahan caesarean ini akan dibius terlebih dahulu untuk mengelakkan kesakitan yang melampau. Namun, rasa sakit itu akan kembali selepas pembedahan berakhir.

Perkara itu tidak menjadi halangan sebagai seorang ibu untuk menguruskan bayinya yang masih perlu menyusu, dibelai serta didukung oleh ibunya sendiri.

Kesimpulannya, hargailah setiap wanita kerana mereka melalui proses yang boleh memberikan risiko kematian walau apa cara kelahiran sekalipun.

Sumber : Babycenter 

Baca perkongsian menarik disini juga : Bersalin Caesarean : Adakah Selamat Berbanding Kelahiran Biasa?



0 comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen anda :)